Vaksin Covid-19 jenis Sinovac yang diberikan kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam pada 7 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Vaksin belian Selangor bantu capai 165,000 suntikan sehari

SHAH ALAM, 15 JUN: Vaksin belian Selangor dijangka dapat mempercepat dan mencapai angka sasaran 165,000 suntikan sehari mulai Ogos.

Dato’ Menteri Besar berkata strategi itu bagi memastikan sebanyak 80 peratus penduduk negeri ini menerima vaksin selewat-lewatnya September.

“Usaha pembelian dan proses pemberian vaksin melalui Program Vaksinasi Selangor dapat memperkemas dan mempercepat usaha ke arah iminuti kelompok dan mencapai sasaran 165,000 sehari,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang media di Bangunan Annex di sini.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Amirudin berkata strategi lain termasuk memperkemas dan memperbanyak petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) sedia ada selain menambah lokasi baharu di lokaliti tertentu.

Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Program Suntikan Vaksin Covid-19 Selangor sebagai sebahagian Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0.

Bekalan vaksin negeri ini dijangka diagihkan akhir Jun yang menyasar warga emas, pekerja industri dan kilang.

 


Pengarang :