Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa Suzana Shaharudin mengirimkan sumbangan pek barangan asas kepada wakil Ukay Perdana, Encik Zainol untuk satu keluarga di kuarantin kerana Covid-19 di Pangsapuri Seri Kayangan, Ukay Perdana. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat – Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa
ADNSELANGOR

Ahli majlis, ketua kampung bantu kesan penduduk terjejas pendapatan

SHAH ALAM, 4 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa bekerjasama dengan ahli majlis di empat zon bagi mengesan penduduk terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Penyelaras, Suzana Shaharudin berkata pihaknya turut jalin kerjasama dengan ketua kampung bagi memastikan tiada penduduk terputus bekalan makanan asas.

“Kita percaya masih ada penduduk yang malu dan mengambil tindakan berdiam diri berbanding mengibarkan bendera putih seperti kempen yang dimulakan warga maya.

“Penduduk tidak perlu hadir ke pusat khidmat masyarakat sebaliknya kita akan mencari mereka untuk menghulurkan bantuan,” katanya kepada SelangorKini.

Suzana berkata pihaknya juga bersedia untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada individu memerlukan sokongan mental.

“Selain bantuan makanan, kesihatan mental juga amat penting dan penduduk juga boleh menghubungi talian Befrienders Kuala Lumpur sekiranya mengalami masalah,” katanya.

Baru-baru ini, kempen bendera putih dimulakan warga maya di media sosial bagi membantu golongan susah dengan mengibarkannya di halaman rumah sekiranya tiada makanan dan memerlukan bantuan.

PKPD dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula semalam sehingga 16 Julai.

 


Pengarang :