Muhammad Shah Firdaus Sahrom (kanan) dan Datuk Mohd Azizulhasni Awang akan membawa cabaran negara dalam acara berbasikal di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Foto Facebook M Shah Firdaus
AGENDASUKANKINI

Azizul pencetus inspirasi Shah Firdaus layak ke Olimpik

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Tidak disangka pertemuannya dengan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang sembilan tahun lepas mencetuskan inspirasi untuk menjejakkan kaki ke temasya Sukan Olimpik satu hari nanti.

Bagi pelumba trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom, peluang bersua muka dan merakam gambar kenangan bersama “The Pocket Rocketman” yang baharu pulang ke tanah air selepas beraksi dari London 2012 ketika itu, amat bermakna dalam perjalanan kariernya sehingga berjaya berkongsi pentas Olimpik bersama Datuk Azizulhasni di Sukan Olimpik Tokyo.

Mengimbau kembali detik indah berkenaan, Muhammad Shah Firdaus berkata pertemuan itu diatur oleh pembantu jurulatihnya ketika itu dikenali sebagai Zamani atau Abang Black.

“Bagi seorang budak lelaki biasa yang sangat suka mengayuh basikal, bersua muka dengan susuk Azizul amatlah bermakna. Sebelumnya hanya mampu melihat dari media dan bersorak dari depan televisyen di dewan makan.

“Pertemuan di detik itu telah menghidupkan api semangat dalam diri budak lelaki berbaju putih ini, menanam cita-cita untuk suatu masa nanti menjejak kaki di sukan temasya terbesar dunia itu,” katanya menerusi satu hantaran beserta dua keping gambar bersama Azizulhasni di laman Instagram hari ini.

Katanya, perjuangan dan perjalanan dialaminya sembilan tahun lepas penuh berliku selain menyifatkan penyertaan di Sukan Olimpik begitu “mahal” baginya seterusnya merealisasikan impiannya menggalas tugas serta cabaran untuk negara tercinta di Jepun bersama Azizulhasni.

“Bermula dari sekilas impian, dengan doa dan usaha, Alhamdulillah, ‘Olympic Dream’ (Impian Olimpik) kian menjadi realiti. Sungguh, realiti ini lebih indah dari mimpi. If you can dream it, you can do it (Jika anda mengimpikannya, anda boleh melakukannya),” kata beliau.

Kedua-dua pelumba berkenaan dijadual mengambil bahagian dalam acara keirin dan pecut individu pada Sukan Olimpik Tokyo yang akan berlangsung di Velodrom Izu bermula 4 Ogos ini.

Sukan Olimpik Tokyo yang membuka tirai secara rasmi semalam akan berlangsung sehingga 8 Ogos ini.

– BERNAMA


Pengarang :