Borhan Aman Shah meninjau program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak bagi penduduk Kampung Orang Asli Tanjong Sepat, Kuala Langat pada 24 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Sambutan positif, lebih 300 Orang Asli terima vaksin

KUALA LANGAT, 24 JULAI: Seramai 387 masyarakat Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata program tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan penerima vaksin bersedia sejak awal pagi untuk tujuan itu.

“Ini menggambarkan tiada lagi masyarakat luar bandar takut atau bimbang untuk diberi suntikan pelalian demi membendung penularan wabak Covid-19,” kata Borhan Aman Shah kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas melawat Program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) di sini hari ini.

Pemberian vaksin untuk penduduk Kampung Orang Asli Tanjung Sepat itu adalah di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata sebelum ini hampir 400 Orang Asli di Kampung Bukit Bangkong, Tanjung Sepat turut menerima manfaat sama.

“Sambutan di kedua-dua tempat agak baik dan kita harap lebih ramai masyarakat Orang Asli mengambil peluang ini. Usaha akan diteruskan bagi memastikan lebih ramai individu disuntik demi mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Borhan berkata inisiatif itu juga turut terbuka kepada masyarakat Orang Asli tidak mendaftar di MySejahtera tetapi mereka dibenarkan secara ‘walk-in’ ke PPV bergerak itu dengan menggunakan pendaftaran manual.


Pengarang :