Petugas kesihatan Klinik Selcare mengambil sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) ke atas peserta Program Saringan Komuniti Covid-19 yang diadakan secara percuma di Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang pada 11 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Cadangan Selangor guna RTK Antigen diterima kerajaan pusat

SHAH ALAM, 27 JULAI: Cadangan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) supaya keputusan ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) digunakan untuk mengesahkan kes virus kini diterima kerajaan pusat, kata ahli parlimen Kuala Selangor.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang juga pengerusi STFC, berkata kepantasan penting dalam mengurus pandemik dan memutuskan rantaian wabak sebaliknya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya berdasarkan ujian polimeras masa nyata (rt-PCR).

Bekas menteri kesihatan itu berkata seseorang perlu menunggu panggilan daripada pusat kesihatan daerah sebelum disaring di klinik kesihatan sehingga mewujudkan waktu senggang antara tiga hingga lima hari.

“Dalam keadaan sekarang ini, harus ada ujian murah, segera dan frekuensi tinggi, rt-PCR adalah ujian klinik manakala RTK-Ag ujian epidemiologi untuk mengawal perebakan.

“Tetapi Alhamdulillah selepas hampir satu tahun setengah, saya perhatikan sudah ada perubahan apabila pengesahan Covid-19 dibuat berdasarkan RTK-Ag dan tiada keperluan mengulangi ujian rt-PCR,” katanya ketika berbahas pada hari kedua sidang khas Parlimen hari ini.

Dr Dzulkefly berkata keadaan tersebut menyebabkan kes positif di seluruh negara semakin meningkat termasuk di Selangor yang sering berdepan stigma masyarakat.

“Orang tanya bila (kes) Selangor hendak turun, saya kata Selangor tidak akan turun angkanya kerana kami memerhatikan kadar positif bermula dari 10, 13, 15, 17 dan satu masa 19 pun ada.

“Kita tidak malu kerana angka tinggi tetapi kita malu kalau ada kes kematian terutamanya jenazah dibawa ke hospital (BID),” tegasnya.


Pengarang :