Orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin IDCC Seksyen 15 Shah Alam pada 14 Julai 2021- Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

CITF pertimbang PPV khusus untuk warga asing

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mempertimbangkan keperluan untuk mengkhususkan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) untuk warga asing mengikut bahasa agar proses vaksinasi dapat dilakukan dengan lancar.

CITF dalam kenyataan memaklumkan ia bagi membolehkan sumber-sumber diperlukan seperti penterjemah atau sukarelawan, dapat ditempatkan di situ sekali gus mengatasi masalah kesesakan di PPV yang berpunca daripada kehadiran dalam bilangan yang ramai kumpulan itu, menyebabkan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP).

“Kegagalan pekerja asing dalam mengisi borang dan memuat turun aplikasi MySejahtera menyebabkan proses tersebut mengambil masa yang lama.

“Setiap pekerja asing memerlukan lebih lima minit untuk mengisi borang dan menyebabkan kesesakan di kaunter pendaftaran. Terdapat jurubahasa yang membantu, tetapi proses tersebut masih memakan masa,” menurut kenyataan itu sebagai mengulas kesesakan yang berlaku di kebanyakan PPV di Lembah Klang semalam.

Kenyataan itu memaklumkan, kesesakan semalam juga terjadi apabila sebilangan besar daripada penerima vaksin hadir tidak mengikut waktu janji temu yang diberikan dengan datang pada waktu pagi sedangkan waktu janji temu adalah di sebelah petang.

Bagi mengelakkan masalah sama berulang, badan bertindak itu turut bekerjasama dengan pihak polis untuk menyekat perjalanan sebarang kenderaan seperti bas dari luar Lembah Klang yang membawa sama ada pekerja asing atau rakyat Malaysia secara beramai-ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin di Lembah Klang.

Pada masa sama CITF juga meminda tarikh janji temu bagi sesetengah penerima vaksin untuk mengurangkan jumlah kehadiran agar kesesakan daripada masalah komunikasi melibatkan warga asing itu dapat dielakkan.

“Hasil daripada tindakan CITF ini, kesesakan di PPV yang terlibat terutamanya di waktu petang, dapat dikurangkan hari ini dan perkara berkenaan akan terus dipantau bagi membolehkan tindakan bersesuaian diambil dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :