Selangorkini
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Elak anak jadi ‘penagih gajet’ ketika pandemik

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Sindrom berkurung akibat pandemik Covid-19 bukan sahaja membuatkan orang dewasa melekat menghadap skrin pelbagai gajet, malahan kanak-kanak tadika turut terkesan dengan fenomena ini.

Penutupan sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menuntut murid dan pelajar mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Isunya bukan sahaja mereka menghadap skrin komputer untuk tujuan itu tetapi sibuk dengan permainan di internet ketika waktu santai.

Berjam-jam di komputer dan telefon bimbit serta gajet lain sudah tentu mencetuskan lagi satu kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang anak mereka berkemungkinan menjadi ‘penagih gajet’!

Ini bukan sahaja boleh menjejaskan perkembangan mental serta emosi, malah mungkin membuatkan mereka enggan ke sekolah bila keadaan mengizinkan.

Perunding Psikiatrik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Profesor Madya Dr Nora Mat Zin berpandangan, peningkatan besar-besaran penggunaan gajet serta masa yang dihabiskan di depan skrin dalam kalangan kanak-kanak, adalah salah satu kesan buruk terkurung di dalam rumah.

“Banyak yang kanak-kanak temui di internet, bukan sahaja laman sesawang pendidikan untuk PdPR, tetapi permainan dalam talian, di samping media sosial seperti Facebook, Tik Tok, YouTube dan sebagainya.

“Perkara paling lazim yang ibu bapa bangkitkan ketika konsultasi ialah anak-anak yang ketagihan gajet ketika pandemik ini. Malah ada yang sampai didiagnos dengan Ketagihan Permainan Internet (IGA) serta Gangguan Kebimbangan Komorbid Kemurungan Major (MDD).

Dr Nora berkongsi perkara berkenaan ketika sesi penyampaian beliau mengenai The Internet Use and Mental Health of School Children di Kongres Dunia Ketiga mengenai Integrasi dan Islamifikasi 2021, anjuran IIUM pada 6 Jun lepas.

Apakah ketagihan internet itu benar? 

Menurut Dr Nora yang juga Ketua Jabatan, Kulliyyah Perubatan Kampus IIUM Kuantan, ibu bapa dapat melihat tanda-tanda IGA pada diri anak mereka, baik dari segi fizikal atau emosi.

“Untuk IGA, tanda biasa perubahan tingkah laku lazimnya dengan telefon pintar, agresif, gelisah, gangguan tidur dan tidak mementingkan makan.

“Malahan, kanak-kanak ini lemah daya fokus untuk belajar, enggan bergaul dengan kawan-kawan, asyik dengan permainan internet, tak lagi ikut rutin dan tidak ada perkembangan diri, ” jelasnya.

Beliau menambah, kanak-kanak yang mengalami kemurungan serta kebimbangan sosial, akan menghabiskan lebih banyak masa dengan gajet mereka dan permainan internet sewaktu PKP yang akhirnya menyebabkan ‘Anxiety Disorder Comorbid MDD with Internet Game Disorder’.

“Di samping gejala yang serupa dengan IGA, ada ketikanya mereka mungkin terdorong untuk mencederakan diri sendiri, meskipun tahu tindakan mereka tidak boleh diterima.

“Internet memberikan mereka ruang untuk melupakan sebarang perasaan sedih atau masalah yang mengganggu emosi mereka. Mereka ni tak kisah tidur dan lebih suka menyendiri dalam dunia dalam talian mereka,” katanya.

Malahan, beliau berkata, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanak-kanak yang menghabiskan terlalu banyak masa dengan peranti digital boleh mendapat sakit kepala, sakit leher, jangkitan mata serta kekurangan zat makanan.

“Selain itu, mereka juga terdedah kepada pembuli siber dan kandungan dalam internet yang tidak sesuai, juga boleh memusnahkan institusi kekeluargaan, ” katanya.

Uruskan skrin secara berkesan

Dr Nora berkata, ibu bapa perlu mengawal masa yang dihabiskan anak mereka menghadap komputer bagi mengurangkan ketagihan gajet.

Beliau turut mengesyorkan konsep ANCHOR iaitu acknowledge (iktiraf), notice (ambil tahu), committed (komited), hopeful (berharap), organise (mengatur) dan reflect (merenung kembali).

“Sebagai ibu bapa, mereka mesti melihat isu ini secara serius dan sekata dengan sasaran. Bincangkan isu dan apa yang ingin dicapai, supaya bila bercakap dengan anak, tidak ada pertelingkahan.

“Mulakan perbincangan dengan mengingatkan anak anda bahawa anda berdua mengambil berat akan kebahagian mereka. Beritahu apa yang anda nampak dengan perubahan tingkah laku, secara tepat seperti cepat letih, pencapaian akademik yang menurun dan suka menyendiri.

“Letakkan masa berapa lama mereka boleh melayari internet setiap hari dan pastikan anda bersama mereka apabila mereka berada di hadapan komputer, ” katanya.

Dr Nora turut mencadangkan, ibu bapa memilih satu hari untuk melakukan ‘Detoks Keluarga’ daripada telefon bimbit dan gajet yang lain.

“Selepas berjam-jam menggunakan telefon pintar dan internet ketika berada di rumah sepanjang PKP, ketika berkumpul, cubalah berbual pula. Ini dapat mengukuhkan ikatan kekeluargaan, ” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar ibu bapa belajar tentang perisian pemantauan serta memasang penapis dalam gajet untuk memantau apa yang anak mereka lakukan semasa dalam talian.

Ketagihan permainan 

Sementara itu, Perunding Pakar Psikiatri, Hospital Pakar Regency, Dr Albert Lee Muh Haur memberitahu Bernama, hasil tinjauan internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada tahun 2020 mendapati, sebanyak 88.7 peratus rakyat Malaysia adalah pengguna Internet.

“Laporan itu juga menunjukkan sebanyak 47 peratus kanak-kanak berumur antara lima hingga 17 tahun menggunakan internet setiap hari dan yang memeranjatkan, 42.6 peratus ibu bapa tidak mempunyai sebarang bentuk kawalan internet. Ini amat membimbangkan, ” katanya.

Sebagai pakar psikiatri, beliau sendiri menerima ramai pesakit terutamanya dalam lingkungan umur remaja yang ketagihan permainan internet, perjudian dan juga pornografi.

“Lagi banyak masa dihabiskan di internet atau gajet lain, lebih tinggi risiko untuk ketagihan termasuk sibuk mengumpul pengikut serta jumlah like atau views. Mereka juga terdedah kepada perjudian dalam talian, pembuli siber dan pronografi.

“Gajet untuk kanak-kanak, ada kesan positif dan negatif. Ini dipengaruhi oleh faktor seperti kekerapan, masa yang dihabiskan dengan gajet serta penyeliaan ibu bapa, ” katanya, ketika dihubungi oleh Bernama baru-baru ini.

Beliau turut berkongsi hasil penyelidikan yang membuktikan mereka yang mempunyai ketagihan berkenaan, mempunyai fungsi serta perubahan otak serta cara berfikir seperti mereka yang ketagihan bahan terlarang.

“Sesetengah permainan dalam talian seperti Loot boxes – antara ciri biasa pemain yang menang, membeli atau diberi hadiah kotak maya atau bekas yang apabila dibuka pembungkusnya terdapat barangan maya bernilai, umpamanya alat senjata, mata wang permainan atau kemampuan istimewa.

“Penyelidikan menunjukkan mereka yang membeli atau menjual loot boxes mempunyai kecenderungan tinggi untuk perjudian kerana kesamaan dari segi jalan ganjaran. Jadi, mereka ini mungkin mempunyai tingkah laku seperti seseorang yang asyik dengan berjudi.

“Ini menunjukkan permainan menggunakan internet, jika tidak diselia, boleh menjurus kepada ketagihan dan memerlukan bantuan profesional untuk merawat ketagihannya, ” jelasnya.

Atasi keenganan anak ke sekolah 

Menyentuh tentang isu keengganan anak ke sekolah termasuk golongan remaja semasa pandemik dan PKP, Dr Lee berkata ianya berpunca akibat terkurung dalam rumah dan mereka secara terpaksa terdedah kepada gajet untuk PdPR dan kurang pergaulan di luar rumah.

”Isu ini memanglah banyak memberi tekanan untuk anak-anak, keluarga dan kakitangan sekolah. Ini boleh mencetuskan kesan jangka pendek dan jangka panjang terhadap emosi, sosial serta perkembangan pendidikan mereka.

“Dalam perkembangan kanak-kanak, mereka fokus untuk mempelajari perkara baharu, dapat berkawan serta mengembangkan keyakinan diri dan identiti. Bila sekolah ditutup, mereka tak boleh buat semua itu dan hanya berhubung secara digital, ” tambahnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan anak-anak itu apabila kembali ke sekolah, mungkin menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi atau berhadapan dengan kawan-kawan. Mungkin juga mereka berasa gelisah.

“Dalam soal ini, ibu bapa perlu menilai keadaan anak mereka. Luangkan masa untuk berbual dengan mereka, galakkan anak-anak menyuarakan rasa isi hati mereka. Mungkin ada yang sukar untuk berbuat demikian. Bersabarlah. Jika anak anda ada hubungan baik dengan mana-mana guru atau kaunselor di sekolah, minta mereka bercakap dengan anak anda, ” katanya..

Dr Lee turut mencadangkan, ibu bapa boleh juga mendapatkan bantuan profesional termasuk doktor keluarga, pakar pediatrik atau psikiatrik untuk membuat penilaian ke atas anak mereka.

“Doktor mungkin boleh membantu anak yang bermasalah. Lagi lama anak tidak ke sekolah, lagi sukar untuk mereka kembali ke sekolah. Matlamat rawatan ini untuk membantu anak itu belajar cara mengurangkan rasa gelisah apabila balik ke sekolah.

“Dalam hal ini, kerjasama antara sekolah, ahli terapi atau doktor serta keluarga adalah penting untuk membantu anak kembali ke sekolah, ” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :