Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia mengunjungi rumah ke rumah bagi menjalankan saringan Covid-19 kterhadap penghuni pangsapuri Mentari Court yang dikenakan perintah kawalan ketat pada 5 Julai 2021. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya
AGENDANASIONAL

KKM saring 17,000 penghuni Mentari Court

SHAH ALAM, 5 JULAI: Kira-kira 17,000 penghuni daripada 3,469 unit pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya menjalani saringan Covid-19 hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata saringan di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu itu sebagai langkah membendung penularan wabak.

“Petugas KKM melawat dari rumah ke rumah bagi memastikan semua penghuni menjalani ujian saringan sebagai langkah membendung penularan jangkitan di kawasan perumahan itu.

“Rancangan untuk memberi vaksin kepada penduduk di situ yang dijadual pada Ahad (semalam) terpaksa ditangguhkan sehingga ujian saringan selesai sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Program berkenaan mendapat kerjasama polis, tentera, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling selain pelbagai pihak turut menyumbang barang keperluan harian kepada setiap rumah.

Mentari Court antara lokaliti di Selangor yang dikenakan PKPD sejak 1 Julai lalu. Perintah sama turut dikenakan ke atas Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS dalam tempoh berkenaan.


Pengarang :