Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan SISM40 membabitkan kerjasama MBI dan Telekom Malaysia (TM) selepas menyedari kesulitan dihadapi rakyat negeri ini dalam mendepani cabaran Covid-19. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI cadang kerjasama selebriti promosi skim internet untuk M40

SHAH ALAM, 15 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI bercadang menjalin kerjasama dengan selebriti untuk hebahan promosi Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40).

Penyelaras program berkata antara artis tersebut adalah pelakon Shaheizy Sam dan Farah Nabila serta penyanyi Sarah Suhairi agar skim baharu dilancarkan itu lebih diketahui umum selain kekangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Mereka antara yang mempunyai jumlah pengikut ramai di media sosial, justeru MBI bercadang bekerjasama dengan selebriti ini bagi mempromosi SISM40,” kata Aizat Ab Rahman kepada SelangorKini.

Menurutnya, selain artis pihaknya juga akan bekerjasama dengan pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor bagi tujuan berkenaan.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 2,000 pengguna untuk setiap lapan pakej disediakan akan menerima manfaat tersebut,” katanya.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui https://www.sism40.com.my/.

Pada 30 Jun, MBI berkata golongan M40 boleh menikmati subsidi antara RM10 hingga RM30 sebulan selama setahun dengan melanggan satu daripada lapan pakej ditawarkan di bawah pakej keluarga, bujang dan asas.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, Dato’ Menteri Besar mengumumkan SISM40 membabitkan kerjasama MBI dan Telekom Malaysia Berhad (TM) selepas menyedari kesulitan rakyat negeri ini mendepani Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan program Data Internet Selangor memanfaatkan 70,000 golongan sasar termasuk penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan.


Pengarang :