Orang ramai beratur menunggu giliran untuk menjalani Saringan Percuma Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Meru pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk Meru gusar kilang gagal patuh SOP, malu dilabel ‘pencetus’ Covid-19

KLANG, 9 JULAI: Kedegilan syarikat industri bukan perkhidmatan penting yang meneruskan operasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mengundang kegusaran penduduk Meru terhadap ancaman penularan Covid-19.

Ketua Kampung Meru, Azman Mohamed Tawil, 52, berkata kebanyakan masyarakat turut meluahkan rasa malu apabila ramai pihak luar melabel kawasan itu sebagai ‘pencetus’ wabak gara-gara penularan jangkitan berpunca daripada pekerja kilang.

Azman Mohamed Tawil

“Sejak awal pelaksanaan PKP tahun lepas, saya mengikuti dari semasa ke semasa isu kilang ingkar arahan. Walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah mengarahkan kilang berkaitan tutup, namun kita dapati masih ada yang beroperasi.

“Sebagai wakil penduduk, saya amat berharap pihak kilang tidak memandang remeh perkara ini sebab kita tidak mahu orang luar menganggap Meru adalah kawasan Covid-19,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Norazilina Mohamed Tawil

Penduduk, Norazilina Mohamed Tawil, 54, pula berkata sikap tidak endah sesetengah pengusaha kilang menyebabkan rakyat yang sejak dari dahulu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) terpaksa menanggung sengsara.

“Sudah sebulan kerajaan menguatkuasakan perintah ketat dan sepatutnya keadaan lebih selamat sebab semua rakyat duduk di rumah, namun kes Covid-19 masih membimbangkan malah angka kematian juga meningkat. Ini bukan mitos sebaliknya kenyataan depan mata.

Mohd Affinddi Ismail

“Saya sangat berharap kilang yang tanpa diketahui membuka operasi walaupun tidak termasuk dalam sektor perlu agar prihatin nasib rakyat dengan mematuhi segala peraturan dan saranan kerajaan bagi membendung penularan wabak,” katanya yang menetap di Kampung Haji Mohd Sharif.

Seorang lagi penduduk, Mohd Affinddi Ismail, 45, menyifatkan tindakan kerajaan membenarkan lebih banyak sektor beroperasi di kawasan PKPD hanya memberi keuntungan kepada syarikat terbabit namun menambah derita rakyat.

“Kadang-kadang kerajaan cakap memang betul untuk ekonomi tetapi kalau nyawa rakyat jadi taruhan apa gunanya. Lebih baik tutup semua kilang seperti dilaksana pada PKP 1.0 supaya tiada penambahan kes,” kata bapa dua anak yang tinggal di Jalan Meru.


Pengarang :