DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bergambar bersama Mufti Selangor yang baharu, Dato’ Dr Anhar Ophir dan Timbalan Mufti Prof Madya Dr Miszairi Sitiris pada 29 Julai 2021. Foto Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMASELANGOR

Sultan titah percepat suntikan vaksin kepada pentadbir masjid

SHAH ALAM 29 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kesihatan Negeri mempercepatkan pemberian vaksin kepada imam, bilal, siak dan jurunikah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah suntikan kepada pentadbir sebagai persediaan awal bagi membolehkan masjid dan surau dibuka untuk lebih ramai jemaah khususnya ketika solat Jumaat bergantung kepada perkembangan terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Baginda berpandangan adalah penting golongan ini diberi keutamaan memperoleh vaksin Covid-19 secepat mungkin sebagai perlindungan kerana tugas mereka terdedah kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi,” menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Terdahulu, Baginda berkenan berangkat mengurniakan watikah lantikan mufti dan timbalan mufti Selangor yang baharu di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Dato’ Dr Anhar Ophir dilantik sebagai mufti berkuat kuasa 21 Mei lalu yang mana sebelum ini beliau merupakan timbalan mufti sejak 2016.

Manakala jawatan timbalan mufti kini diambil alih Prof Madya Dr Miszairi Sitiris yang sebelum ini bertugas sebagai timbalan dekan Hal Ehwal Pelajar, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Pengarang :