Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikesan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka ketika berada di bangunan Parlimen pada 26 Julai 2021. Foto ihsan pembaca Twitter
AGENDANASIONAL

Tidak pakai pelitup muka di Parlimen, Tajuddin dikompaun lagi

SHAH ALAM, 27 JULAI: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini dikompaun susulan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di bangunan Parlimen semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata kompaun dikeluarkan terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak itu apabila pihaknya mengesan sekeping gambar dimuat naik seorang pengguna Twitter menunjukkan Tajuddin melakukan kesalahan itu, lapor Berita Harian.

“Siasatan mendapati beliau (Tajuddin) menghadiri Sidang Khas Dewan Rakyat di Parlimen, semalam.

“Kira-kira jam 2.30 petang pada hari sama, beliau didapati tidak memakai pelitup muka ketika berada bersama seorang individu lain di ruang legar Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, satu notis kompaun dikeluarkan polis ke atas Tajuddin pada jam 1 tengah hari tadi, dan nilai kompaun akan diputuskan oleh pihak Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

Tinjauan di Twitter mendapati rata-rata warga maya mengecam sikap Tajuddin yang gagal mematuhi SOP pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu sebelum ini dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan sama ketika mengadakan sidang media selepas melawat lokasi dua tren LRT bertembung dalam terowong berhampiran KLCC di sini, 25 Mei lalu.


Pengarang :