Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop bercakap ketika sidang media pada Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di sebuah hotel di Seksyen 14 Shah Alam pada 4 Mei 2021. foto Bernama
AGENDANASIONAL

Zakat Selangor peruntuk RM2.5 juta, bantu golongan kibar bendera putih

SHAH ALAM, 7 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta untuk membantu golongan mengibar bendera putih yang mengalami kepayahan hidup akibat perebakan Covid-19.

Ketua pegawai eksekutifnya, Saipolyazan M Yusop berkata usaha membantu golongan itu akan digerakkan ke setiap daerah dengan kerjasama polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat.

“LZS memerlukan kerjasama semua pihak kerana kita ada kekangan kakitangan, tidak mungkin kita dapat bergerak ke serata daerah dengan cepat, sebab itu pentingnya kerjasama dengan mereka yang menetap di daerah tersebut.

“Segera hubungi LZS jika ada maklumat keluarga atau individu yang terkesan akibat keadaan ketika ini, Insya-Allah kita bantu,” katanya menerusi temu bual secara maya bersama Media Selangor.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan agihan zakat sebanyak RM69.3 juta menerusi 19 inisiatif bagi membantu golongan terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi yang akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember tahun ini.

Empat agenda bersasar dilaksanakan untuk memenuhi keperluan asnaf, fakir, miskin dan mualaf, meringankan beban golongan rentan, menyokong pemulihan institusi agama di Selangor serta menyokong keperluan asas barisan hadapan.


Pengarang :