Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 1,000 permohonan rebat RM20 ke pusat vaksin diterima

SHAH ALAM, 7 JULAI: Lebih 1,000 permohonan rebat RM20 bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab diterima sejak diperluas ke semua peringkat usia.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata permohonan itu diterima sejurus Dato’ Menteri Besar mengumumkannya semalam sehingga jam 12 tengah hari tadi.

“Dijangkakan 95 peratus daripadanya akan diluluskan kerana maklumat diberikan memenuhi kriteria.

“Syarat memohon rebat mudah antaranya mempunyai akaun Grab, beralamat di negeri ini dan tarikh menerima vaksin hingga 30 September,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika dihubungi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memohon pada tarikh sama dengan janji temu vaksin hingga menyebabkan permohonan ditolak kerana proses kelulusan perlu dibuat dalam tempoh 24 jam.

Semalam, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat perjalanan ke PPV menggunakan Grab berjumlah RM20 dibuka kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira usia.

Sebelum ini, inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk negeri berusia 50 tahun ke atas.

Permohonan rebat yang dibuka pada 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh negeri dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Orang ramai boleh melayari pautan www.platselangor.com dan tekan butang Inisiatif MBI Bisnes Amal untuk mendaftar.


Pengarang :