Selangorkini
Orang ramai beratur untuk mendaftar bagi mendapat suntikan pelalian bawah program Vaksin Selangor (Selvax) anjuran DUN Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama dan Bukit Lanjan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall pada 30 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

2,000 slot vaksin hadir tanpa janji temu di lima PPV

SHAH ALAM, 4 OGOS: Sebanyak 2,000 slot suntikan tanpa janji temu (walk in) ditawarkan di lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) negeri ini bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Menurut penyelaras Selvax Komuniti PPV Hotel De Palma slot disediakan setiap hari bermula semalam sehingga 13 Ogos memberi peluang kepada individu yang belum menerima tarikh janji temu mendapat vaksin segera.

Ahmad Afendi Adham berkata tawaran untuk rakyat tempatan membabitkan PPV Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya; Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Aurora Place, Bukit Jalil; Hotel De Palma, Shah Alam dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Manakala, untuk warga asing pula dikhaskan pada 10 hingga 13 Ogos bertempat di PPV Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

“Individu yang hadir ke PPV tetap perlu memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan sukarelawan akan membantu cara mengisi kod baucar mengikut lokasi,” katanya ketika ditemui pada program Selvax Komuniti di sini hari ini.

Peserta boleh menggunakan kod baucar tertera di poster bagi mendapatkan vaksin di PPV berhampiran yang dibuka mulai 9 pagi hingga 6 petang.

Berikut proses perlu dilakukan:
1. Muat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah)
2. Tekan butang ‘VAX’
3. Tekan butang ‘Temujanji’
4. Tekan butang ‘Semak temujanji’
5. Tekan kotak berwarna ungu
6. Masukkan kod baucar mengikut lokasi PPV berhampiran
7. Pilih ‘Tarikh’

Orang ramai boleh menonton video tutorial pendaftaran melalui link berikut: https://youtu.be/gxPkFBcMc98

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 penduduk negeri ini.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :