Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting Lau Weng San menyantuni orang ramai yang menunggu giliran pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Banting Baru di sini pada 4 Ogos 2021. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat guna peruntukan sendiri bantu masyarakat Banting

BANTING, 4 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting kini menggunakan peruntukan sendiri bagi membantu masyarakat terkesan akibat Covid-19.

Lau Weng San berkata ia berikutan peruntukan diberikan kerajaan Negeri sudah digunakan sepenuhnya bagi mengagihkan bakul makanan dan peti gempur wabak yang lengkap dengan peralatan seperti pelitup muka, oximeter termasuk vitamin C bagi meningkatkan imunisasi pesakit.

“Agihan bakul makanan bukan sahaja diberikan kepada golongan B40 tetapi untuk setiap masyarakat yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan akibat pandemik.

“Buat masa ini kita menggunakan peruntukan sendiri untuk bantuan sama termasuk peti gempur kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Dewan MPKL Banting Baru di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga menyediakan kenderaan khas untuk penduduk di kawasannya yang terjejas pendapatan dan lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) jauh.

“Perkhidmatan ini wujud sebelum pengumuman rebat RM20 menggunakan Grab lagi dan masih diteruskan bagi menggalakkan mereka menerima vaksin,” katanya.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 yang dibentang pada 9 Jun lalu, peruntukan program Mesra Rakyat kepada semua 56 wakil rakyat termasuk pembangkang ditingkat kepada RM100,000.

Kerajaan Negeri atas semangat ‘Kita Selangor’ juga setuju memberi peruntukan tambahan RM50,000 untuk program tersebut membabitkan jumlah keseluruhan RM3.28 juta.


Pengarang :