Pasukan pengurusan jenazah lengkap berpakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan di Presint 20 Putrajaya pada 3 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

33 kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19, kata menteri

POKOK SENA, 13 OGOS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenal pasti seramai 33 kanak-kanak yang kehilangan tempat bergantung ekoran kedua ibu bapa atau penjaga mereka meninggal dunia akibat Covid-19 di seluruh negara setakat ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kanak-kanak yang menjadi yatim piatu secara tiba-tiba itu akan dibantu dari segi keperluan sosial seperti penjagaan dan perkhidmatan kaunseling untuk mereka meneruskan kehidupan.

“Setakat ini senarai yang kita dapat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) ada 33 kanak-kanak. Kita mengalu-alukan penglibatan pemimpin masyarakat untuk melaporkan kepada kita sekiranya ada lagi kes kanak-kanak yang kehilangan kedua ibu bapa.

“Sebab kita tidak boleh jangka kes kematian ini. Laporan yang kita terima daripada KKM mungkin bertarikh sekian-sekian, tapi mungkin ada laporan yang lain boleh dimaklumkan kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Kanak-kanak (RKK) Pokok Sena di sini hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak itu akan diserah kepada ahli keluarga atau waris terdekat yang bersedia dan mempunyai kemampuan untuk menjaga mereka.

Bagaimanapun jika keadaan sebaliknya, Rina berkata kanak-kanak itu akan ditempatkan di institusi penempatan atau perlindungan kanak-kanak yang ada pada masa ini sama ada secara sementara atau tetap.

Antaranya ialah RKK Pokok Sena, Kedah; Taman Sinar Puteri (TSP), Batu Gajah, Perak; TSP Cheras, Kuala Lumpur; Rumah Budak Lelaki Melaka; RKK Mini Kelantan; TSP Kota Kinabalu, Sabah dan TSP Kuching, Sarawak.

“Selain itu kementerian juga mengenal pasti beberapa kaedah altenatif lain untuk membantu kanak-kanak ini, contohnya penempatan di bawah orang yang layak dan sesuai,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella yang didakwa didera baru-baru ini, Rina berkata kesihatan remaja berusia 13 tahun itu menunjukkan perkembangan positif dan luka-luka di badannya semakin pulih.

Menurutnya, remaja itu kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bukan sahaja bertanggungjawab menjaga kebajikannya malah berusaha memulihkan semula emosi remaja terbabit.

“Dalam hal siasatan kes itu pula ia adalah di luar bidang kuasa kita tapi kita telah menggesa pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes itu, sebab kita juga mahu pelaku dibawa ke muka pengadilan dengan segera supaya ia menjadi pengajaran kepada orang ramai,” katanya.

Sebelum ini, kisah Bella tular di laman sosial selepas seorang individu mendedahkan mengenai penderitaan remaja berkenaan yang mengalami kesan lecur dan luka di anggota badan dipercayai akibat didera.

-BERNAMA


Pengarang :