Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) bergambar selepas menyerahkan sumbangan baitulmal Mais di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 13 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais bantu masjid, pusat tahfiz ‘tenat’ akibat pandemik

SHAH ALAM, 13 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang sebanyak RM537,500 bagi menampung keperluan masjid, surau dan pusat tahfiz negeri ini yang terkesan akibat Covid-19.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sebanyak RM337,500 diagihkan kepada 316 masjid dan 322 surau terpilih dengan masing-masing menerima RM500.

Manakala baki RM200,000 disumbangkan kepada 250 pusat tahfiz melalui Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) bagi kos utiliti dan sewa bangunan.

“Sumbangan berbentuk wang tunai ini diberikan menerusi peruntukan baitulmal Mais dengan pembayaran dikreditkan secara berperingkat kepada penerima,” katanya selepas menyerahkan cek cura di Lobi Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Abdul Aziz berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban institusi berkenaan terutama bagi menampung bil utiliti dan keperluan kecil sepanjang tempoh perintah kawalan.

Sementara itu, pengerusi Pitas berkata operasi pusat tahfiz terjejas berikutan ramai ibu bapa tidak mampu membayar yuran dalam tempoh tujuh bulan yang kini mencecah RM8 juta.

“10 daripada pusat tahfiz terpaksa ditutup sementara jadi kita akan guna peruntukan Mais untuk bantu….yuran telah diberi diskaun namun ibu bapa juga terkesan dan kerana itu pusat tahfiz tidak mampu membayar utiliti, gaji guru.

“Sumbangan Mais ini adalah sinar untuk kita tambah kepada yang amat-amat memerlukan,” kata Muhammad Hafiz Muhammad Haneefa Al-Hafiz yang memaklumkan Lembaga Zakat Selangor turut membantu pusat tahfiz yang terkesan.

 


Pengarang :