Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan mengenai Skim Insurans Peduli Sihat pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

67,348 ahli Skim Insurans Peduli Sihat dapat manfaat setakat Julai

SHAH ALAM, 26 OGOS: Seramai 67,348 ahli mendapat manfaat melalui Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) setakat 31 Julai, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata sebanyak RM37.6 juta dibelanjakan bagi tujuan itu berbanding peruntukan tahunan berjumlah RM42.4 juta.

“Baki peruntukan daripada program tersebut digunakan untuk program saringan Covid-19 bersasar fasa tiga,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 79,275 ahli menerima manfaat dalam program sama tahun lalu.

Skim Peduli Sihat diperkenalkan pada 2017 bagi membantu menampung perkhidmatan kesihatan golongan berpendapatan rendah termasuk kos ubat, rawatan dan perundingan.

Program itu ditambah baik tahun lalu yang akan memberi jaminan perlindungan kesihatan kepada 85,000 keluarga dan isi rumah bawah RM2,000 sebulan.

Setiap keluarga yang layak akan menerima rawatan asas berjumlah RM500 setahun manakala bagi individu bujang sebanyak RM200 setahun.

Selain membantu kos rawatan asas, SIPS juga memberi manfaat seperti berikut:

1. Kematian atau hilang keupayaan kekal sebanyak RM5,000
2. Khairat kematian sebanyak RM1,000
3. Manfaat penyakit kritikal sebanyak RM5,000
4. Kematian semula jadi sebanyak RM5,000


Pengarang :