ADN Morib, Hasnul Baharuddin menyampaikan sumbangan makanan Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Morib kepada petugas pada program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPKL Taman Banting Baru, Kuala Langat pada 22 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Morib agih 1,600 bakul makanan, ringan beban penduduk

BANTING, 22 OGOS: Sebanyak 1,600 bakul makanan diagih kepada penduduk terjejas di Morib sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kata wakil rakyatnya.

Hasnul Baharuddin berkata rata-rata penduduk terkesan dengan pandemik Covid-19 dan sebahagiannya hilang punca pendapatan kerana tidak dapat keluar bekerja.

“Antara golongan terkesan yang menerima bantuan adalah peniaga, penjaja, pekerja kilang, pemandu lori dan teksi serta pemandu bas dan van sekolah.

“Kita tidak hanya memfokuskan bantuan bakul makanan tetapi turut membantu individu yang mengalami masalah kesihatan seperti rawatan dialisis dan sumbangan kerusi roda,” katanya selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Morib di PPV Dewan MPKL Banting Baru hari ini.

Terdahulu Hasnul menyerahkan beg berisi makanan, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada petugas barisan hadapan di PPV tersebut dengan diiringi Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Morib Johaini Ab Jalal.

Sementara itu, Johaini berkata pihaknya mengagihkan sebanyak 120 beg kepada petugas barisan hadapan di dua PPV iaitu Dewan MPKL Banting Baru dan Kompleks Sukan dan Belia MPKL Banting.

“Pemberian beg ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan masa diluangkan petugas barisan hadapan sepanjang proses vaksinasi dijalankan,” katanya.

PWB adalah pusat penggerak wanita yang diwujudkan di 56 DUN di bawah Kerajaan Negeri dan bertujuan menyantuni masyarakat khasnya wanita dan remaja perempuan dengan pelbagai pendekatan termasuk memberi latihan kemahiran berskala kecil serta sederhana.


Pengarang :