Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen (kiri) bersama Pengarah Maeps Dr Shahabuddin Ibrahim (kanan) pada program penyerahan bantuan keperluan asas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Serdang pada 17 Ogos 2021. Foto William Leong
SELANGOR

Ahli parlimen Selayang sumbang barang keperluan asas di PKRC Serdang

SERDANG, 17 OGOS:  Sejumlah barang keperluan asas disumbangkan ahli parlimen Selayang untuk kegunaan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Sumbangan meliputi 150 unit lampin pakai buang dewasa, tisu tandas (100 unit), susu (50 unit), air mineral (1,000 unit), mi segera (lima kotak), baju T (500 helai) dan selimut (180 helai) membabitkan perbelanjaan RM12,000.

William Leong Jee Keen berkata inisiatif itu diambil susulan perkongsian seorang bekas pesakit Covid-19 di Facebook yang mendakwa keperluan berkaitan tidak mencukupi.

“Jadi, kita bekerjasama dengan pasaraya Econsave dan seorang penyumbang yang ingin turut serta menjayakan program bantuan ini.

“Kita juga berharap tidak lagi timbul isu kekurangan bekalan berkaitan di pusat berkenaan selepas ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sumbangan diserahkan kepada Pengarah MAEPS Dr Shahabuddin Ibrahim.


Pengarang :