Wan Muhd Syafis Ishak menunjukkan air tebu yang telah dibotolkan di kedainya di Bandar Saujana Putra pada 24 Julai 2021. Beliau menyertai Platform Selangor (PLATS) selepas Kerajaan Negeri memperluaskan program itu kepada penjaja kecil dan peruncit. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Bangkit perah kemanisan, PLATS bantu luaskan pasaran air tebu

Foto AHMAD ZAKKI JILAN

SHAH ALAM, 22 OGOS: Fikirannya kusut. Perniagaan minyak pelincir dan rawatan enjin motokar milik Wan Muhd Syafis Ishak, 42, tiba-tiba tunggang-langgang.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytihar pada Mac tahun lalu, kerugiannya mencecah RM25,000 dalam tempoh lima bulan.

Sebelum itu, lebih 1,000 tempahan dalam talian diterima saban bulan. Kini merudum kepada 200 sahaja akibat sekatan perjalanan.

Beliau terpaksa mengorek wang simpanan untuk membayar gaji pekerja dan sewa pejabat. Lebih RM5,000 dikeluarkan setiap bulan dalam tempoh itu.

Atas saranan rakannya, beliau beralih kepada perniagaan air tebu. Tanpa disangka-sangka, jualannya melonjak. Lebih-lebih lagi dengan bantuan Platform Selangor (PLATS).

Wan Muhd Syafis memulakan perniagaan minyak enjin kenderaan sejak 2016 dengan dibantu lima pekerja. Produk itu mendapat sambutan baik dalam talian.

Dalam sebulan, purata jualan bulanan dianggar RM30,000. Jumlah meningkat kepada RM40,000 pada musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.

Dua orang pekerja mengangkat tebu yang baru sampai di di kedai mereka di Bandar Saujana Putra pada 24 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sebaliknya sejak PKP dikuat kuasa di seluruh negara, hendak dapat RM7,000 sebulan pun payah. Tempahan hanya berlegar 200 tempahan minyak berkenaan.

“Tabiat orang kita, selalunya selenggara kereta cuma bila nak jalan jauh sahaja seperti balik kampung atau bercuti.

“Bila PKP dibuat, tidak boleh bergerak ke mana-mana. Hari raya pun tidak boleh balik kampung. Sebab itu, ramai tidak selenggara kereta dan jualan pun merosot teruk,” katanya kepada Selangorkini.

Semakin lama wang simpanan beliau semakin menyusut bagi menggerakkan perniagaan minyak hitam.

Namun, pilihan Wan Muhd Syafis terbatas. Berniaga satu-satunya sumber rezeki bapa kepada dua anak itu untuk menampung keluarga.

Pinjam mesin

Dalam sibuk untuk menyelamatkan perniagaan sedia ada, rakannya dikenali sebagai Pok Din mencadangkan beliau menjual air tebu dalam botol.

Beliau menyaksikan sendiri jualan air tebu Pok Din yang terletak berdekatan kedainya laris sepanjang Ramadan tahun sebelumnya.

Namun, Pok Din lebih berminat dengan perniagaan restoran sahaja. Justeru beliau meminjam mesin pemerah tebu. Pok Din turut mengajarnya selok belok berniaga air tebu termasuk cara mendapatkan bekalan.

Berbekal bantuan itu, Wan Muhd Syafis tekad untuk bangkit dengan memulakan perniagaan pada Julai 2020 atas jenama Air Tebu Kawwjus. Mulanya, beliau cuma berniaga di tepi jalan dan beberapa kedai sekitar Saujana Putra, Kuala Langat.

“Mula-mula buat dalam 20 hingga 30 botol sehari dan habis. Kemudian tambah 50 botol lagi, juga habis. Tambah lagi 100 botol, juga habis.

“Sekarang saya boleh jual kira-kira 4,500 hingga 5,000 botol seminggu sama ada jualan terus atau menerusi tujuh ejen di Lembah Klang,” katanya.

Air Tebu Kawwjus mendapat sambutan berikutan faktor kesegarannya selain adanya pilihan perisa termasuk lemon.

Wan Muhd Syafis Ishak menggunakan mesin khas untuk membuang kulit tebu di kedainya di Bandar Saujana Putra pada 24 Julai 2021.
Beliau menyertai Platform Selangor (PLATS) selepas Kerajaan Negeri memperluaskan program itu kepada penjaja kecil dan peruncit. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Lantaran mesin yang dipinjam tidak mampu menampung pengeluaran, Wan Muhd Syafis melabur RM45,000 untuk membeli mesin pengisar dan pemerah berkuasa tinggi pada awal tahun ini.

Permintaan Air Tebu Kawwjus mendapat sambutan baik, lebih-lebih lagi penyertaannya dalam PLATS banyak membantu promosi produknya sekali gus pasarannya kian meluas.

“Saya mula daftar PLATS semasa mula-mula diperkenal. Ramai juga pelanggan yang membeli. Bagusnya PLATS mudah daftar, berstruktur dan paling penting percuma,” katanya.

PLATS adalah sebuah program anjuran Kerajaan Negeri untuk membantu peniaga membuat jualan dalam talian. Pelanggan mudah menjejaki perniagaan atau produk melalui laman sesawang itu.

Berikutan permintaan tinggi, Wan Muhd Syafis perlu memastikan bekalan bahan mentah yang konsisten. Beliau memerlukan kira-kira lima tan tebu seminggu. Bekalan diperoleh dari Kedah dan Negeri Sembilan.

“Dahulu memang tanaman tebu besar-besaran terdapat di Perlis tetapi sekarang tidak lagi,” katanya.

Namun, ada kala Wan Muhd Syafis berdepan situasi terputus bekalan berikutan pengusaha menanam dalam jumlah kecil, sekitar satu atau dua ekar sahaja.

Justeru, beliau bercadang membuka kilang lagi di Negeri Sembilan bagi memudahkan urusan mendapat bekalan tebu untuk dihantar ke kilangnya di Saujana Putra.

Beliau juga berhasrat mempertingkat kemudahan kilangnya sesuai dengan piawaian untuk mendapatkan pensijilan halal suatu hari kelak.

 


Pengarang :