Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin secara pandu lalu kepada kakitangan Sirim di ibu pejabat Sirim, Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Beli vaksin negeri, usaha Sirim lindungi pekerja dipuji

SHAH ALAM, 1 OGOS: Menyedari penularan wabak Covid-19 yang kian mengganas, syarikat Sirim Berhad (Sirim) mengambil inisiatif membeli vaksin bagi melindungi kakitangannya.

Pelalian yang diperoleh melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Industri memanfaatkan kira-kira 120 pekerja termasuk pasangan dan ahli keluarga.

Salah seorang kakitangan Suzan Zairani Mustapim, 55, memuji keprihatinan majikannya dalam melindungi pekerja yang berdepan risiko ketika bertugas.

Beliau yang berkhidmat sebagai setiausaha Sirim QAS International Sdn Bhd turut mengambil peluang membawa anaknya bagi mendapat suntikan pelalian.

Suzan Zairani Mustapim

“Syarikat menampung kos suntikan ahli keluarga bagi mengurangkan jangkitan. Langkah ini membantu prestasi pekerja,” katanya pada program Vaksinasi Pandu Lalu Sirim- Selvax di sini semalam.

Kakitangan eksekutif Razy Azlan turut memuji usaha Sirim yang dilihat membantu Kerajaan Negeri mencapai imuniti kelompok selain menjamin keselamatan rakyat.

“Program ini membantu lebih ramai penduduk mendapat vaksin kerana kita tidak tahu bila akan dapat giliran dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan walaupun telah lama mendaftar.

“Kaedah pandu lalu ini juga memudahkan pekerja. Tidak perlu menunggu lama seperti di pusat vaksin. Dalam 20 minit selesai semuanya,” katanya.

Sirim menjadi pelanggan pertama Selvax Industri yang memberi suntikan vaksin secara pandu lalu kepada kakitangan.

Kerajaan Negeri menyediakan dua juta dos vaksin kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Setakat ini, seramai 90,000 pekerja dari 800 syarikat mendapat manfaat dalam tempoh sebulan selepas program itu dilancarkan pada 26 Jun.

 


Pengarang :