Petugas kesihatan menyediakan dos vaksin Covid-19 di Pusat Perubatan Sunway, Subang Jaya pada 12 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Belum ada ketetapan ibu hamil boleh dapat vaksin tanpa janji temu

LENGGONG, 9 OGOS: Belum ada lagi ketetapan untuk membenarkan golongan ibu hamil mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara jumpa terus (walk-in) tanpa perlu menunggu tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Bagaimanapun menurutnya golongan ibu hamil tetap diberi keutamaan di bawah Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana mereka adalah kumpulan berisiko yang terdedah dengan jangkitan dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak akan mengendalikan proses vaksinasi termasuk penetapan tarikh.

“Kita belum ada lagi membuat sebarang pengumuman (ketetapan). Sekarang yang ada jumpa terus untuk yang berumur 60 ke atas dan komorbid di seluruh negara. Itu yang ada setakat ini, tapi ia (jumpa terus) adalah satu cadangan yang baik untuk ibu mengandung.

“Mereka perlu dikenal pasti khasnya daripada 14 minggu hingga 33 minggu supaya diberikan suntikan secepat mungkin. Mengandung adalah salah satu risiko komorbid,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Merdeka Lenggong hari ini.

Dr Noor Azmi diminta mengulas mengenai kebimbangan orang ramai dengan kes ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 sehingga membawa maut.

Tegasnya, walaupun tiada lagi ketetapan dibuat, namun arahan serta garis panduan dikeluarkan oleh Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) bagi proses pemberian vaksin Covid-19 kepada ibu hamil.

Pada Jun lepas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata vaksin Covid-19 keluaran Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca sesuai disuntik kepada ibu mengandung, berdasarkan panduan yang dikemas kini Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata orang ramai berhak meminta pengusaha dan pekerja premis makanan mengemukakan pengesahan sudah menerima dua dos suntikan Covid-19 susulan kebenaran kerajaan untuk aktiviti “dine-in” bagi negeri-negeri di bawah Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan fasa seterusnya yang akan bermula esok.

Beliau berkata langkah itu boleh diambil bagi memuaskan hati orang ramai yang masih ragu-ragu dan bimbang dengan status vaksin pemilik atau pekerja premis berkenaan.

“Kita berhak untuk bertanya sekiranya ragu-ragu, dan saya percaya akan ada tatacara operasi piawai (SOP) tertentu dikeluarkan untuk pekerja premis makanan. Kita juga meminta supaya golongan berisiko seperti warga emas, ibu hamil dan kanak-kanak tidak dibawa ke premis makanan untuk dine-in, biarlah mereka yang betul-betul sihat sahaja,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan aktiviti menjamu selera di premis makanan dibenarkan bagi mereka yang telah menerima vaksin lengkap, dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa Dua PPN dan seterusnya, bermula esok.

-BERNAMA


Pengarang :