Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan Mat Yusop (dua, kiri) menyerahkan sumbangan pek makanan dan minuman kepada Pegawai Tadbir Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang juga Penyelaras Agensi Bersama PKRCB MAEPS 2.0 Kapten Syahirah Hammizah Suhaili (dua, kanan) di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di MAEPS Serdang pada 9 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

LZS sumbang pek makanan RM60,000 kepada pusat kuarantin Serdang

SERDANG, 9 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan pek makanan dan minuman bernilai RM60,000 kepada pesakit dan petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata sumbangan yang diperuntukkan di bawah asnaf “Amil” itu merupakan sebahagian inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang diumumkan pada 2 Julai lepas.

Beliau berkata sumbangan itu akan dimanfaatkan 20 agensi kerajaan yang bertugas di pusat berkenaan termasuk petugas kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sumbangan ini adalah inisiatif yang kita laksanakan di bawah peruntukan asnaf ‘Amil’ yang peruntukan asalnya bernilai RM1 juta tetapi melihat kepada keperluan sekarang ini, LZS telah membelanjakan hampir RM1.2 juta bagi membantu petugas barisan hadapan.

“Kita juga dimaklumkan bahawa pihak pusat kuarantin memerlukan susu dan lampin pakai buang dewasa setelah pusat ini dinaik taraf kepada pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat…oleh itu kita akan melihat keperluan ini jika perlu ditambah di masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu di sini.

Mengulas lanjut, Saipolyazan berkata LZS turut mengagihkan bantuan kewangan kira-kira RM800,000 kepada seluruh hospital di Selangor bagi membeli barangan keperluan berkaitan Covid-19.

“Antara barangan keperluan itu termasuk katil, tong oksigen, pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dan lain-lain,” katanya.

Pada 2 Julai lepas, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.0 juta peruntukan wang amil disalurkan bagi menyokong keperluan asas petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani pandemik Covid-19.

Sebelum ini, LZS turut menyalurkan sumbangan sebanyak 2,000 pek makanan dan minuman selama 30 hari kepada orang ramai yang hadir membuat penilaian kesihatan di di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam.

-BERNAMA


Pengarang :