Ketua Pegawai Kejururawatan Selgate Healthcare Sdn Bhd Shazana Aimi Kamarudin membantu orang ramai yang hadir program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 20 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hampir 40,000 pekerja industri dan komuniti terima Vaksin Selangor

PETALING JAYA, 20 OGOS: Hampir 40,000 dos Vaksin Selangor (Selvax) sudah disuntik sejak pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini, bermula 26 Jun hingga hari ini.

Ketua PPV Selgate Shazana Aimi Kamarudin berkata hampir 30,000 peserta menerima suntikan dos pertama dan kedua di bawah program Selvax Industri manakala selebihnya Selvax Komuniti.

“Kami juga terima penyertaan Selvax Industri daripada pekerja luar Selangor antaranya Affin Bank, Celcom dan Maxis. Permohonan mereka dibuat menerusi ibu pejabat mereka di Selangor.

“Manakala sejumlah 10,000 peserta Selvax Komuniti pula melibatkan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama, Kampung Tunku, Bukit Gasing dan Bukit Lanjan,” katanya ketika ditemui.

Shazana berkata pihaknya menjangkakan seramai 5,900 individu lagi akan hadir menerima vaksin esok.

“PPV Tropicana Gardens Mall akan ditutup sepenuhnya pada 3 September depan. Setakat ini proses berjalan lancar biarpun menerima kehadiran ramai,” katanya.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :