Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan pada 12 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan goyang, Muhyiddin akui sekutu PN tarik sokongan

SHAH ALAM, 13 OGOS: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengakui sebahagian sekutu kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik balik sokongan setelah 15 wakil rakyat Umno menolak kepemimpinannya.

“Malangnya dalam keadaan saya dan rakan-rakan dalam kabinet berhempas pulas mengurus pandemik, beberapa ahli parlimen telah menarik sokongan kepada saya.

“Ini menimbulkan keraguan tentang keabsahan saya sebagai perdana menteri dan kedudukan kerajaan PN sebagai kerajaan yang memerintah,” katanya dalam perutusan khas yang disiar secara langsung.

Muhyiddin mengulas tindakan Umno memutuskan untuk menarik sokongan minggu lalu, manakala dua menteri parti tersebut meletak jawatan dan sekumpulan pemimpin utamanya meninggalkan badan berkaitan kerajaan.

Pada 4 Ogos, Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi turut menghantar nama 14 wakil rakyatnya, tidak termasuk Datuk Seri Noraini Ahmad yang meletak jawatan dua hari kemudian, kepada Yang di-Pertuan Agong.

Susulan itu, kata Muhyiddin lagi, sebagai perdana menteri beliau mempunyai pilihan sama ada mengundur diri bersama kabinet atau memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Bagaimanapun, beliau mendakwa tiada seorang pun ahli parlimen lain yang mampu meraih majoriti sokongan Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri baharu seterusnya membentuk kerajaan.

“Sehingga saat ini tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri baharu,” katanya lagi.

Dalam ucapan tersebut, perdana menteri cuba menggambarkan pergolakan politik yang mungkin berpanjangan jika kerajaan baharu gagal ditubuhkan sehingga boleh menjejaskan usaha memerangi wabak.

“Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual?” katanya.

Dalam nada terdesak, beliau mencadangkan tujuh langkah bagi mencapai “rangka persefahaman rentas parti” yang akan dilaksanakan oleh kerajaan PN jika usul undi percaya terhadapnya diluluskan dalam masa terdekat.

  • Semua ahli parlimen terima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik
  • Penambahan siling Dana Covid-19 dari RM65 bilion tahun lalu kepada RM110 bilion untuk atasi pandemik
  • Mengehad tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal dan membentang Rang Undang- Undang Anti-Lompat Parti
  • Jumlah wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih seimbang (50-50)
  • Membentang Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pendaftaran automatik
  • Rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentang dirunding dengan semua ahli parlimen
  • Ketua pembangkang diberi saraan dan kemudahan setara menteri kanan

 


Pengarang :