Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan Jalur Gemilang kepada penerima vaksin selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato’ Abdul Hamid, Hulu Selangor pada 29 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Negeri sedia 60,000 dos suntikan Selvax bergerak

HULU SELANGOR, 29 OGOS: Kerajaan Negeri menyediakan 60,000 dos suntikan dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak yang dijangka dilaksana pertengahan bulan depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menerima kuota 500 hingga 1,000 dos yang penerimanya sedang dikenal pasti Ahli Dewan Negeri (ADN) dan pemimpin setempat.

Menurutnya, program itu akan mengenal pasti individu belum mendapat vaksin Covid-19 kerana tinggal di kawasan terpencil seperi ladang dan tapak pembinaan selain takut keluar kerana tiada dokumen lengkap.

“Kita akan tanganinya untuk melengkapkan mereka yang belum divaksin sepenuhnya yang menepati istilah kita belum selamat selagi semua orang tidak selamat,” katanya selepas meninjau program Selvax Komuniti DUN Batang Kali di Dewan Dato’ Abdul Hamid di sini, hari ini.

Amirudin berkata selain bekalan vaksin, Kerajaan Negeri juga menyediakan semua kemudahan diperlukan antaranya pengangkutan bagi menjayakan program Selvax bergerak itu.

“Program ini bukan kita bergerak dari rumah ke rumah tetapi cari tempat dan bawa individu terbabit untuk mendapat vaksin,” katanya.

Selvax dilancarkan pada hujung Jun dengan peruntukan RM200 juta membabitkan dua juta dos kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 penduduk yang belum divaksin terutama warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat.


Pengarang :