Kakitangan LZS lengkap mengenakan sut perlindungan diri menziarahi pelakon Sherie Merlis di kediamannya baru-baru ini. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS bantu keluarga Sherie Merlis, adik didaftarkan asnaf sejak Julai

SHAH ALAM, 27 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyalurkan bantuan tambahan kepada keluarga pelakon Sherie Merlis yang berdepan kesusahan termasuk dijangkiti Covid-19.

Agensi itu berkata adik kepada pelakon drama Mat Despatch itu, Sharifah Athirah Wan Zainalabidin didaftarkan sebagai asnaf pada Julai dan menerima bantuan kewangan mulai bulan ini.

“LZS turut menghulurkan bantuan perubatan kepada ibu Sherie seperti lampin pakai buang dan susu khas sejak Jun lalu.

“Bantuan tambahan akan disalurkan terutama kepada ibunya yang terlantar sakit mengikut keperluannya. Moga bantuan ini meringankan beban keluarga Sherie,” katanya di Facebook.

LZS memaklumkan pihaknya menziarahi keluarga pelakon berusia 48 tahun itu semalam selepas mendapat laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Dengan bantuan pihak pengurusan Megaklinik Zahran Bangi, kami pergi melihat keperluan mereka dan menghulur bantuan makanan,” katanya.

Ahad lalu, Sherie memuat naik video di Instagram merayu orang ramai memberi pendapat selepas dia ‘terperangkap’ bersama 11 orang termasuk adiknya yang positif dalam rumah kecil dua bilik.

Usaha Sherie membuahkan hasil apabila Megaklinik Zahran datang membantu dan menempatkan adiknya bersama suami serta dua anak yang positif Covid-19 ke sebuah hotel bagi menjalani kuarantin.

 


Pengarang :