Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop bercakap kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga lapan beradik yang kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19 di Bukit Beruntung, Rawang pada 22 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS kumpul maklumat guru, pusat tahfiz terjejas, bantu secepat mungkin

SHAH ALAM, 25 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyalurkan bantuan kepada 1,000 guru pusat tahfiz dan 250 institusi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 secepat mungkin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) sedang mengumpul maklumat bagi membolehkan bantuan berkenaan disalurkan.

Jelasnya LZS bersetuju membantu 1,000 pengajar dan 250 pusat tahfiz terbabit selepas perbincangan dengan PITAS pada minggu lalu berhubung masalah tunggakan yuran bulanan menyebabkan gaji sukar dibayar.

“Zakat Selangor tidak dapat menyelesaikan keseluruhan isu tetapi kami cuba meringankan beban dihadapi mereka,” katanya di Facebook semalam.

Hantaran Saipolyazan itu mendapat perhatian awam apabila beberapa pihak menghubunginya untuk memberi sumbangan.

“Seorang hamba Allah bercadang menyumbang RM10,000 kepada tahfiz, saya mohon beliau salurkan terus kepada PITAS,” katanya.

Pada 13 Ogos lalu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM200,000 kepada 250 pusat tahfiz di bawah Pitas untuk membayar kos utiliti dan sewa bangunan sepanjang perintah kawalan.

Pengerusi Pitas Muhammad Hafiz Muhammad Haneefa Al-Hafiz berkata operasi pusat tahfiz terjejas berikutan ramai ibu bapa tidak mampu membayar yuran dalam tempoh tujuh bulan yang kini mencecah RM8 juta.


Pengarang :