Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (dua, kiri) menyampaikan cek cura RM 337,500 untuk 638 masjid dan surau seluruh Selangor kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Jaibatan Agama Islam Selangor (Jais) Hazman Che Mohamed (dua, kanan) ketika penyerahan sumbangan Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 13 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Mais agih RM3 juta fidyah untuk 20,000 keluarga terjejas

SHAH ALAM: 13 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah berjumlah RM3 juta kepada 20,000 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 sejak awal tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata bantuan tersebut disalurkan dengan anggaran RM30,000 dan RM40,000 setiap minggu serta dilakukan secara berterusan di seluruh negeri.

“Insyallah kita akan tambah lagi selepas ini apabila ramai yang memberi sumbangan dan akan pulangkan kepada fakir miskin,” katanya selepas menyerahkan cek cura Mais kepada masjid, surau dan pusat tahfiz yang terkesan akibat Covid-19 di Lobi Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Pada 2 April, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyasarkan mengagihkan RM1 juta wang fidyah kepada golongan memerlukan di negeri ini.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahrir Mahktar berkata daripada jumlah itu seramai 10,000 keluarga akan dibantu pada fasa kedua Ramadan tahun ini.

“Fasa pertama kita selesai mengagihkan yang mana setiap keluarga diperuntuk RM100 dengan pemberian berupa pek makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan susu.

“Manakala fasa kedua diteruskan dengan jumlah sama dan penerima adalah daripada individu atau keluarga golongan berpendapatan rendah (B40), peniaga dan penjaja,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman sesawang Mais di www.mais.gov.my atau membuat bayaran menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.


Pengarang :