Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar kenangan bersama keluarga ketika melawat Sky Mirror di Kuala Selangor pada 30 Disember 2020. Foto Facebook Majlis Daerah Kuala Selangor
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Sky Mirror Kuala Selangor unik, antara terbaik di dunia

SHAH ALAM, 21 OGOS: Sky Mirror di Kuala Selangor boleh menjadi lokasi pelancongan bertaraf antarabangsa berikutan keunikannya hampir setanding Salar de Uyuni di Bolivia.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keunikan tarikan pantulan imej seakan cermin itu antara terbaik di dunia dan mempunyai kelebihan kerana mudah dilawati.

“Tempat sama di Bolivia memerlukan tiga hingga empat hari untuk sampai tetapi Sky Mirror di Kuala Selangor boleh sampai 30 minit sahaja.

“Sebelum pandemik dianggarkan 15,000 hingga 20,000 pelancong berkunjung ke sana dalam sebulan, banyak tarikan…makanannya juga sedap,” katanya pada program bual bicara Tiga Talk malam tadi.

Program disiarkan secara langsung di Facebook dikendalikan tiga penyampai terkenal Halim Othman, Linda Onn dan Kudsia Kahar.

Bagi meningkatkan potensi Kuala Selangor, Amirudin berkata Kerajaan Negeri memfokuskan
ekopelancongan selain pertanian yang disenaraikan dalam kluster.

Ketika rentas daerah bagi melancong dibenarkan pada hujung tahun lalu, Amirudin menyahut seruan kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! apabila memilih Kuala Selangor sebagai destinasi percutian bersama keluarga.

Beliau melawat Sky Mirror selain berkunjung ke Bukit Malawati, Makam Diraja, Santuari Kelip-kelip, memandu go kart di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor serta memancing udang galah di Kampung Kuantan.


Pengarang :