Selangorkini
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon meredakan keadaan yang bertukar kecoh dalam Sidang Khas Parlimen pada 29 Julai 2021 – Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Pembangkang bantah tangguh sidang khas Parlimen, belakangkan titah Agong

SHAH ALAM, 2 Ogos: Pembangkang membantah keras keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan penangguhan sidang khas Parlimen hari ini.

Menerusi kenyataan bersama malam tadi, pembangkang menyifatkan tindakan itu langsung tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, proses demokrasi berparlimen dan membelakangi kenyataan media Istana Negara.

“Kami merakamkan kekesalan dan bantahan keras terhadap keputusan Perdana Menteri mengarahkan penangguhan sidang khas Isnin 2 Ogos ini walaupun jumlah kes positif membabitkan Parlimen hanya 0.9 peratus setakat 29 Julai.

“Oleh yang demikian, kami bersependapat bahawa Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan seluruh jemaah menteri mesti meletakkan jawatan secara terhormat sekarang,” katanya.

Kenyataan bersama dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; ahli Parti Sarawak Bersatu, Baru Bian dan ahli parlimen Bebas Maszlee Malik.

Tambah kenyataan itu keputusan untuk tidak membentang dan membahas semua Ordinan Darurat seperti yang telah diperkenan dan dititahkan Seri Paduka Baginda adalah keputusan jemaah menteri.

“Maka, berdasarkan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, seluruh jemaah menteri bertanggungjawab secara bersama ke atas krisis Perlembagaan yang telah berlaku ini,” katanya.

Sidang khas Parlimen yang seharusnya disambung pada Isnin (hari ini) ditangguhkan “ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak”.

Perkara itu dimaklumkan melalui surat kepada ahli parlimen yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin, Sabtu lalu.


Pengarang :