Hassan Yang Ashaari, 63, sanggup berhabisan ratusan ringgit menghias motosikal dan menjahit baju menggunakan bendera Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 ketika ditemui di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pesara berhabis ratusan ringgit jahit baju `berwajah’ Jalur Gemilang

SHAH ALAM, 25 OGOS: Seorang pesara sanggup berhabis ratusan ringgit untuk menghias serta menyelimuti motosikal kesayangannya dengan bendera Jalur Gemilang.

Hassan Yang Ashaari, 63, turut menjahit sendiri sepasang pakaian ‘berwajah’ Jalur Gemilang sebagai simbol patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

“Saya menggunakan duit poket lebih RM300 beli bendera, manik dan benang. Saya habiskan masa tiga hari untuk untuk jahit sendiri baju dengan seluar bercorak Jalur Gemilang

“Manakala untuk untuk menukar wajah motosikal jenis Kawasaki KXR110 dengan keindahan Jalur Gemilang, saya ambil masa dua hari lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan, Jalur Gemilang turut dipasang dan digantung di sekeliling rumah serta kereta.

“Lain orang, lain caranya menterjemahkan rasa cinta kepada negara menjelang Hari Kebangsaan, tetapi bagi saya ini cerminan sayang serta cinta saya kepada negara.

Hassan Yang Ashaari, 63, menghias motosikal kesayangannya dengan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 

Berkongsi lebih lanjut mengenai usahanya, Hassan Yang berkata sepasang pakaian Jalur Gemilang akan dijahit sendiri mengikut tema sambutan Hari Kebangsaan pada setiap tahun.

“Saya tanpa gagal menterjemah rasa cinta kepada negara melalui kreativiti walaupun berdepan beberapa masalah untuk mendapatkan bahan bagi menyiapkan hiasan sejak penularan Covid-19.

“Ia bagi membangkitkan semangat kecintaan kepada negara selain menzahirkan tekad untuk merdekakan diri daripada masalah pandemik di negara ini,” katanya.

Menurutnya, suasana negara yang sedang berperang dengan Covid-19 tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk menyemarakkan semangat menyambut Hari Kebangsaan tidak lama lagi.

“Sudah pasti kibaran Jalur Gemilang akan menyemarak rasa cinta kepada negara tetapi yang lebih penting, kita perlu kekal berganding dalam semangat perpaduan untuk menghapuskan Covid-19, memandangkan kita belum menang dalam perang,” katanya.

Tema sambutan kemerdekaan tahun ini adalah Malaysia Prihatin sebagai tanda bersama-sama memerangi wabak Covid-19 yang melanda negara.


Pengarang :