EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman menyantuni penghantar makanan selepas program sumbangan p-panggilan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Peserta RiDE belum terima vaksin akan disuntik segera

SHAH ALAM, 15 OGOS: Mana-mana peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang belum menerima suntikan pelalian Covid-19 akan divaksin segera.

EXCO pembangunan generasi muda berkata golongan terbabit akan diberi suntikan menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) yang giat dilaksanakan ketika ini.

“Saya yakin kebanyakan penghantar makanan ini sudah divaksin namun jika ada yang tercicir mereka boleh maklumkan kepada kita dan proses itu akan disegerakan,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan cek cura RiDE kepada kira-kira 600 peserta di perkarangan Dewan MBSA Seri Pagi, Seksyen U19 di sini hari ini.

Mohd Khairuddin turut memaklumkan sebelum ini penggiat industri sukan negeri diberi vaksin membabitkan kuota 1,000 dos menerusi Selvax.

Pada 30 Jun, Kerajaan Negeri melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).


Pengarang :