Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada penerima ketika program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPKL Taman Banting Baru, Kuala Langat pada 22 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Peserta vaksin Selangor gesa individu lengkap disuntik terus kekal di rumah

BANTING, 22 OGOS: Individu yang melengkapkan pengambilan vaksin diharap terus kekal di rumah dan tidak menyalah guna kelonggaran diberi kerajaan berikutan kes Covid-19 masih tinggi.

Suri rumah P Shanthi, 26, berkata beliau dan suami D Kalithasan, 25, serta keluarganya yang mendapat suntikan dos kedua hari ini memutuskan akan hanya keluar untuk mendapatkan keperluan harian serta bekerja.

P Shanthi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Walaupun kemudahan ini boleh dimanfaat dalam tempoh dua minggu lagi, kami akan kekal begitu kerana perasaan takut dijangkiti masih ada dan varian baharu Covid-19 yang mudah merebak membimbangkan.

“Mereka yang sudah lengkap dua dos juga diharap berbuat perkara sama,” katanya ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib di PPV Dewan MPKL Banting Baru hari ini.

Pembantu kantin Siti Khursiah Md Nor, 42, berkata beliau berasa lebih selamat untuk keluar bekerja selepas mendapat suntikan pelalian apabila kerajaan mengumumkan pembukaan semula sekolah nanti.

Siti Khursiah Md Nor. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini kerana pekerjaan saya dikelilingi murid-murid yang berisiko dijangkiti Covid-19 selain di rumah ada dua anak berusia 12 dan lima tahun.

“Walaupun potensinya masih ada selepas divaksin, ini adalah antara usaha untuk mengurangkan jangkitan,” katanya.

Bekas pekerja swasta Chung Chin Sin, 56, berkata perasaan lega dirasai selepas lengkap dua dos suntikan ketika kes Covid-19 masih tinggi.

“Namun saya risaukan ibu yang masih tidak mahu divaksin kerana takut untuk keluar rumah walaupun dipujuk beberapa kali. Diharap wakil rakyat dapat mengadakan pemberian vaksin dari rumah ke rumah untuk kes terpencil seperti ini,” katanya.


Pengarang :