Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 6 Mei 2021. FotoBERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis siasat dakwaan dua rakyat Malaysia ditahan Taliban

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan permohonan kepada agensi keselamatan luar negara bagi menyiasat dakwaan berhubung dua rakyat negara ini yang ditahan pihak berkuasa Taliban di Afghanistan.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya mengambil maklum mengenai laporan berita dua rakyat negara ini ditahan kerana penglibatan mereka sebagai pejuang Daesh.

“Setakat ini, PDRM tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung penglibatan rakyat Malaysia dengan aktiviti Daesh di Afghanistan.

“Bagaimana pun, siasatan sedang dijalankan berhubung kemungkinan berita yang dilapor tersebut melibatkan pejuang Daesh warganegara Malaysia yang telah sedia ada berada di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Media antarabangsa semalam melaporkan dua rakyat Malaysia antara enam individu yang ditahan pihak berkuasa Taliban kerana terbabit dalam pertemburan bersenjata di Kabul, Afghanistan pada Khamis lepas.


Pengarang :