SHAH ALAM, 1 OGOS: Selangor mencatat kadar pemberian vaksin Covid-19 harian melebihi 150,000 dos pada Jumaat dan semalam sekali gus melepasi sasaran suntikan untuk Julai.
Dato’ Menteri Besar menyifatkan angka tersebut kejayaan bagi negeri ini berikutan peningkatan jumlah pemberian vaksin hingga mengatasi sasaran yang ditetapkan untuk bulan berkenaan.
“Pada 30 dan 31 Julai, 159,000 dan 152,000 dos suntikan sehari dicatat, melepasi sasaran untuk Julai sebanyak 135,000 dos sehari.
“Jumlah ini tidak termasuk kadar vaksinasi harian Program Vaksin Selangor (Selvax) iaitu 15,000 dos sehari,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.
Beliau memaklumkan Kerajaan Negeri akan terus berusaha meningkatkan angka tersebut setiap hari.
“Terima kasih kepada semua petugas perubatan dan keselamatan yang terus komited memberi khidmat,” katanya.