EXCO Generasi Muda, Sukan Dan Modal Insan, Khairuddin Othman menyampaikan sumbangan ketika majlis Penyerahan Makanan Tambahan Kepada Atlet dan Bekas Atlet Selangor pada 10 April 2021 di Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Kuala Lumpur. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor tidak tandus atlet pelapis, cuma perlu perkemas sistem sukan

SHAH ALAM, 10 OGOS: Kerajaan Selangor bakal melaksanakan modul baharu pembangunan sukan bagi memastikan negeri ini tidak ketandusan atlet pelapis.

EXCO sukan berkata pihaknya turut mempertingkatkan kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan olimpik.

“Hanya MSN yang boleh melihat prestasi bakal-bakal atlet ini dan sukan tidak boleh bergerak sendiri tanpa kerjasama MSN, hubungan Kerajaan Negeri dan MSN baik cuma perlu diperkasakan lagi.

“Kita akan bermula dengan memperkemas struktur, kita perbaiki sistem sukan di Selangor,” kata Mohd Khairuddin Othman dalam program Vaksin Selangor (Selvax) untuk atlet dan pengusaha industri sukan di Hotel De Palma di sini.

Selvax merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian yang memanfaatkan 1.25 juta penduduk terdiri golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Mengulas lanjut, beliau berkata prestasi Selangor sepanjang penyertaan Sukan Malaysia (Sukma) juga konsisten, namun masih ada ruang untuk dipertingkatkan.

“Berhubung kedudukan Selangor dalam Sukma, kita tidak pernah jatuh lebih dari nombor empat, ini menunjukkan prestasi bagus cuma perlu dipertingkatkan,” katanya.

Seramai empat atlet Selangor layak bertanding Sukan Olimpik Tokyo pada 23 Julai hingga 8 Ogos lalu iaitu Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik), Phee Jing En (renang), Lee Hup Wei (lompat tinggi) dan Gavin Kyle Green (golf).


Pengarang :