Peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti beratur sebelum dibenarkan masuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang untuk menerima suntikan pelalian pada 1 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tiga tahun tidak balik Sabah, suri rumah teruja divaksin

AMPANG, 2 OGOS: Hampir tiga tahun tidak pulang ke kampung halaman di Sabah, seorang suri rumah teruja mendapat suntikan vaksin menerusi program Vaksin Selangor (Selvax).

Rindu terhadap ibu bapa di Negeri di Bawah Bayu, Sakinah Pondot, 28, yang lebih 10 tahun menetap di sini berharap kerajaan membenarkan penduduk yang lengkap dua dos vaksin untuk merentas negeri.

“Lama sangat tidak pulang ke kampung, paling tidak setahun lebih lima kali kami pulang ke Sabah bertemu keluarga. Tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana, segalanya berubah.

“Sampai sekarang tidak berpeluang lagi untuk terbang pulang. Rindu bukan kepalang, apatah lagi di sini kami tiada saudara-mara, suami juga orang Sabah,” katanya kepada SelangorKini.

Sakinah Pondot, 28

Beliau dan suaminya antara penerima suntikan di Dewan MPAJ Pandan Indah di sini semalam.

Beliau mengaku tidak balik kampung meskipun kerajaan ada memberi sementara kebenaran merentas negeri sebelum ini kerana bimbang dengan keselamatan anak.

“Anak kami masih kecil, virus Covid-19 itu pun mungkin ada di mana-mana dan kita tidak nampak, bimbang juga jika ia menjangkiti anak,” kata ibu tiga anak berusia antara enam hingga 12 tahun.

Menerusi Selvax Komuniti, program yang terangkum dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, sebanyak 500,000 dos disediakan untuk manfaat 250,000 penduduk di negeri ini.

Inisiatif bernilai RM200 juta yang menyasar warga emas, orang kelainan upaya, golongan berpendapatan rendah dan penerima Inisiatif Peduli Rakyat.


Pengarang :