AGENDASUKANKINI

Ziyad ingin perbaharui rekod dunia dimiliki di Paralimpik Tokyo

SHAH ALAM, 13 OGOS: Jaguh lontar peluru F20 negara Mohd Ziyad Zolkefli yakin mampu memperbaharui rekod dunia miliknya pada kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hujung bulan ini.

Menurutnya, keyakinan mengatasi catatan 17.29 meter itu datang selepas melihat kemampuan lontaran sepanjang sesi latihan dijalani untuk temasya sukan antarabangsa tersebut sejak beberapa bulan ini.

“Secara jujurnya saya sudah berlatih sekeras mungkin setiap hari dan yakin mampu baiki rekod peribadi dan dunia dimiliki. Harap kali ini lebih bagus lagi,” katanya pada majlis perjumpaan dan sembang santai bersama atlet Selangor ke Paralimpik Tokyo 2020 secara maya hari ini.

Program disertai EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohd Nizam Marjugi.

Terdahulu Mohd Khairuddin mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Mohd Ziyad dan pelumba basikal Muhammad Hafiz Jamali, dua atlet Selangor yang mewakili negara ke kejohanan sukan antarabangsa bermula 24 Ogos hingga 5 September.

Sementara itu, Mohd Ziyad berkata beliau mula menjalani latihan serius sejak lima bulan lalu di Majlis Sukan Negara bagi memastikan prestasinya terus berkeadaan baik.

“Dua bulan pertama, emosi kurang stabil kerana tinggalkan keluarga, anak, isteri. Namun bila masuk bulan seterusnya saya mula fokus dan baiki setiap teknik hingga dapat lakukan yang terbaik.

“Semua atlet (Paralimpik Tokyo) sedang berusaha dan ada misi tersendiri. Walaupun bukan atlet normal tapi tekad kami tinggi dan akan buat terbaik untuk raih pingat kepada negara,” katanya.

Mohd Ziyad melakar sejarah mencatat rekod dunia itu untuk acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) di Kejohanan Olahraga Para Dunia di London pada Julai 2017.


Pengarang :