Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

14,855 kes jangkitan Covid-19 tiada sejarah vaksin, tidak lengkap suntikan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Sebanyak 14,855 kes atau 73.6 peratus daripada 20,988 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini tiada atau tidak lengkap suntikan vaksin.

Data dikongsikan ketua pengarah kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan 9,860 pesakit tiada vaksin, 4,995 orang telah menerima satu dos manakala 6,133 telah lengkap suntikan pelalian.

Pesakit kategori dua (bergejala ringan) merekodkan jangkitan tertinggi sebanyak 10,979 kes sementara kategori satu (tiada gejala) 9,668 kes.

Kategori tiga (radang paru-paru) pula mencatatkan 171 kes, kategori empat (perlu bantuan oksigen) sebanyak 63 kes dan kategori lima (kritikal) 107 kes.

“Dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan serius dan kematian sekali gus membina imuniti kelompok,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 249 kes kematian direkodkan hari ini dengan 184 daripadanya mempunyai sejarah penyakit kronik manakala 80 maut di luar hospital.

Kematian tertinggi dicatatkan di Selangor membabitkan 61 kes diikuti Johor dengan 40.

Angka korban di negeri dan wilayah dan negeri lain seperti berikut:

Pulau Pinang – 39
Sabah – 33
Kedah – 16
Kuala Lumpur – 16
Melaka – 13
Perak – 9
Sarawak – 8
Kelantan – 6
Negeri Sembilan – 4
Terengganu – 3
Perlis – 1


Pengarang :