Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

7,000 pelajar nikmati data internet percuma hujung bulan ini

SHAH ALAM, 2 SEPT: Seramai 7,000 pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan menerima kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma hujung bulan ini, lebih awal dari perancangan.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata inisiatif itu membolehkan mereka menikmati kemudahan data internet percuma selama setahun.

“Mengikut perancangan serahan pada Oktober namun kita bincang dengan syarikat telco untuk cepatkan. SIM ini turut diberi kepada 212 guru penyelaras yang mengajar peserta,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyerahkan 100 bakul makanan kepada Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan Media Selangor (KERISEMAS) di sini hari ini.

Selain itu, Ahmad Azri berkata lebih ramai pelajar PTRS bakal menyertai program Data Internet Selangor selepas pihaknya membuka permohonan rayuan.

Ahmad Azri Zainal Nor

“Kuota pelajar PTRS sudah penuh jadi kita mungkin akan gunakan kuota peniaga kerana golongan itu mempunyai peruntukan 17,000 penerima,” katanya.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Beliau turut mengumumkan Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40) selepas menyedari kesulitan dihadapi rakyat negeri ini dalam mendepani cabaran Covid-19.


Pengarang :