Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat bomba mengenai kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights, Hulu Klang pada 18 September 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

Agensi diarah pastikan insiden tanah runtuh tidak jejas penduduk

SHAH ALAM, 18 SEPT: Agensi kerajaan diarah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden tanah runtuh di Kemensah Heights tidak menjejaskan penduduk.

Dato’ Menteri Besar berkata Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya perlu memastikan kesan runtuhan tidak memberi kesan terhadap lokaliti penduduk dalam waktu terdekat.

“Jabatan Mineral dan Geosains telah diminta untuk membuat laporan segera mengenai keadaan, potensi dan implikasi bencana untuk tujuan penilaian Jawatankuasa Bencana Daerah bagi mekanisme penyelesaian jangka sederhana dan panjang.

“Semoga semua keluarga mangsa terlibat tabah dan sabar menghadapi ujian ini,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Beliau menambah Kerajaan Negeri turut menghulurkan bantuan kecemasan segera kepada setiap keluarga yang terlibat berupa wang tunai sebanyak RM500 serta bakul makanan asas.

“Petang tadi saya telah turun ke Kemensah Heights di Ampang bagi meninjau lokasi dan mendengar taklimat dari petugas keselamatan di tapak kawasan tanah runtuh yang berlaku semalam.

“Sebanyak 28 buah rumah telah menerima kesan dari kejadian ini,” katanya.

Semalam, berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights dan pihak bomba memaklumkan berlaku aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada jam 9.30 malam.


Pengarang :