Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau keadaan lokasi tanah runtuh di Kemensah Heights, Hulu Klang pada 18 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB isytihar lokasi tanah runtuh Kemensah Heights kawasan bencana

HULU KELANG, 18 SEPT: Kerajaan Negeri mengisytihar lokasi kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights sebagai kawasan bencana.

Dato’ Menteri Besar berkata tiga unit banglo terlibat dalam kejadian tanah itu belum selamat diduduki dan penduduk diminta untuk berpindah.

“Begitu juga dengan 24 unit rumah bandar terlibat turut disaran berpindah buat sementara waktu kerana tidak mahu menanggung risiko khuatir berlaku runtuhan susulan.

“Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) akan mengambil masa dua atau tiga hari untuk mendapatkan kepastian adakah premis terlibat selamat diduduki atau tidak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Keadaan lokasi tanah runtuh di Kemensah Heights, Hulu Klang pada 18 September 2021. Foto RADIN WAZIR

Terdahulu beliau meluangkan masa lebih satu jam di lokasi kejadian bagi bertemu beberapa mangsa kejadian.

Amirudin turut memaklumkan pihaknya akan memaklumkan tindakan pemulihan yang diambil selepas kajian selesai dijalankan.

“Untuk sementara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meletakkan kanvas di kawasan runtuhan bagi mengelak terdedah kepada air dan unsur lain yang boleh menyebabkan kerapuhan pada struktur tanah atau runtuhan susulan,” katanya.

Semalam, berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights dan pihak bomba memaklumkan berlaku aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada jam 9.30 malam.


Pengarang :