Selangorkini
Lui Cheng Thak menggunakan olesan dan goresan warna untuk menzahirkan penganan kegemarannya di atas kanvas. Foto Facebook PINKGUY
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Artis zahir makanan jalanan kegemaran atas kanvas

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Penularan pandemik Covid-19 mengubah sebahagian besar cara hidup kita, baik di rumah mahupun semasa berada di luar, menyebabkan ada antara kita yang rindukan suasana pra-Covid-19.

Antaranya ialah kebebasan makan di luar, dan Malaysia yang disifatkan oleh pengunjung asing sebagai antara “syurga makanan”, kaya dengan pelbagai penganan yang boleh didapati hampir di mana-mana sahaja, dari gerai di tepi jalan hinggalah ke restoran terkemuka.

Bagi yang “hantu” makan, pastinya mereka merindukan kemeriahan pasar malam yang menjadi “lubuk” orang ramai mencari makanan kegemaran, atau sekadar lepak di warung tepi jalan yang namanya menjadi buah mulut orang. Namun, buat masa ini semua itu perlu ditangguhkan.

Tidak mahu suasana itu menjadi sekadar cebisan memori yang tersimpan dalam ingatannya, artis Lui Cheng Thak menggunakan olesan dan goresan warna untuk menzahirkan penganan kegemarannya di atas kanvas.

“Ramai yang merindukan masa-masa makan di luar, malah (sebelum ini) ada yang sanggup menjelajah ke negeri-negeri ‘memburu’ makanan yang enak, manakala rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara pula pasti merindui rasa asli makanan jalanan di tanah air,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Antara lukisan Lui Cheng Thak. Foto Facebook PINKGUY

Terkenal menerusi lukisan bangunan bersejarah, kebudayaan dan warisan, artis berusia 54 tahun itu menjadikan warna-warna makanan jalanan sebagai subjek pameran solo ke-11 beliau – ‘Colour of Taste’ bersama PINKGUY Gallery.

Warna berbeza untuk rasa berbeza

Mempamerkan 12 hasil seni cat minyak di atas kanvas linen bersaiz kecil, pameran dalam talian yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 29 Sept itu boleh diakses di www.pinkguygallery.com. Menurut Lui, pameran secara maya dengan galeri itu adalah yang pertama beliau sejak 2010.

Mengulas mengenai karyanya, pelukis kelahiran Negeri Sembilan itu berkata beliau menggunakan 12 warna dan teknik berbeza yang memberikan kesan visual berlainan berdasarkan tetapan pencahayaan yang menghasilkan tarikan tersendiri pada setiap karyanya.

“Ada 12 ‘cita rasa’ berbeza dan saya namakan setiap satu mengikut warna seperti ‘Blue’, ‘Turquoise, ‘Yellow Ochre’, ‘Cobalt Blue’, dan lain-lain.

“Kebanyakannya merupakan makanan jalanan kegemaran rakyat Malaysia seperti ‘nasi ayam periuk tanah, bak kut teh, char kuetiau, lemang, nasi lemak dan banyak lagi makanan popular dan ikonik Malaysia,” katanya.

“Sesetengah orang ingat saya hanya sekadar melukis bangunan warisan, pemandangan dan khalayak ramai, sebenarnya tidak, perkara paling penting ialah saya melukis masa, cita rasa dan perasaan.

“Saya gunakan kontras warna dan cahaya kerana bagi saya ‘perasaan’ dan ‘suasana’ yang lahir daripada sebuah lukisan bergantung pada ‘perasaan’ dan ‘cita rasa’, sepertimana cahaya dan bayang pada lukisan memberikan kesan yang berlainan,” jelas Lui, menambah sesebuah lukisan membawa makna yang berbeza jika dilihat pada waktu berbeza oleh orang berlainan.

Rasa cinta terhadap bangunan warisan dan kebudayaan

Mengulas lanjut, Lui berkata ideanya untuk menghasilkan koleksi itu datang semasa negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang memperkenalkan pelbagai tatacara operasi piawai (SOP) serta mengalami peningkatan kes Covid-19 pada penghujung 2020.

“Sebagai penggiat fotografi, saya mula merakam pemandangan menggunakan kamera ketika membeli makanan untuk dibawa pulang atau semasa berjalan di lorong-lorong yang mempunyai deretan warung.

“Saya kemudian melakar dan melukis imej yang dirakam itu menggunakan warna dan elemen saya sendiri bagi menggambarkan perasaan dan cita rasa saya bagi setiap makanan,” katanya.

Bagi Lui, makanan Malaysia merupakan sesuatu yang menarik, mengadunkan pelbagai rasa, bahan dan teknik yang mencerminkan kepelbagaian kaum yang membentuk rakyatnya .

“Ada pengaruh Cina dan India serta Melayu dan boleh mengelirukan, setidak-tidaknya pada peringkat awal. Itulah yang menjadikan Malaysia unik, bukan sahaja dari segi kebudayaan dan warisan tetapi juga makanan.

“Saya luahkan rasa cinta saya terhadap makanan Malaysia melalui lukisan,” katanya.

Perjalanan Lui dalam bidang kesenian bermula semasa beliau mengikuti program Diploma Seni dan Reka Bentuk di Kuala Lumpur College of Art pada 1987 selama tiga tahun.

Karya beliau kebanyakannya berkisar pada seni reka bentuk bangunan bersejarah di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Melaka dan juga Kuala Lumpur, mengetengahkan keperluan pemeliharaan landskap bersejarah di tengah-tengah kepesatan pembangunan bandar raya.

Lui berkata beliau lazimnya meluangkan masa antara dua dan tiga minggu bagi setiap lukisan.

“Contohnya apabila saya melukis bangunan, saya perlu tahu sejarah bangunan tersebut seperti tarikh dibina dan fungsi bangunan, jadi saya perlu melawat bangunan itu,” katanya dan menjelaskan beliau turut meletakkan elemen beliau sendiri dalam karyanya.

Antara lukisan Lui Cheng Thak. Foto Facebook PINKGUY

Kerjasama dengan PINKGUY Gallery

Sementara itu, pemilik dan kurator PINKGUY Gallery Winson Loh berkata pameran tersebut adalah pameran solo ke-11 Lui bersama galeri berkenaan dan siri yang dipamerkan kali ini juga merupakan paling bermakna setakat ini.

Katanya semua lukisan dalam siri itu juga akan ditampilkan dalam kalendar 2022 bersaiz mega yang pertama galeri berkenaan yang akan diberi kepada pembeli karya Lui.

“Kami mengadakan pameran secara maya bagi memastikan peluang sama rata untuk semua pelawat melihat dan kemudian membeli karya seni tersebut tanpa membuat tempahan terlebih dahulu.

“Kesemua 12 lukisan terbabit telah terjual pada hari pertama pameran secara maya berlangsung,” katanya.

Loh turut mengagumi komitmen Lui dalam memastikan karyanya sempurna.

“Ketika semua 12 lukisannya dipamerkan di galeri, beliau perasan lapisan warna pada satu daripada karyanya bertajuk ‘Pink’ (menampilkan sate celup) tidak sempurna dan beliau terus membetulkan masalah itu.

“Itulah kelebihan pameran solo, beliau boleh terus menambah baik kekurangan kerana beliau berpeluang melihat kesemua lukisan pada masa yang sama.

“Komitmen terhadap hasil seninya antara sikap beliau yang saya senangi,” kata Loh.

– BERNAMA


Pengarang :