Air Selangor merupakan pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekalan air di Lembah Klang pulih 66 peratus

SHAH ALAM, 1 SEPT: Bekalan air bersih ke 463 kawasan terjejas susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih mencapai 66 peratus setakat jam 6 petang.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Hulu Langat mencatat pemulihan tertinggi dengan 90.7 peratus diikuti Putrajaya (82.6 peratus) dan Sepang (81.4 peratus), Kuala Langat (75 peratus) dan Petaling (37.2 peratus).

Ketua komunikasi korporatnya menyarankan pengguna yang mendapat bekalan membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.

“Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki digerakkan kepada pengguna dan premis kritikal di kawasan-kawasan terjejas.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki,” katanya.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau yang telah dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi semalam.


Pengarang :