Sebahagian pelajar mendaftar sebelum menerima suntikan pelalian dalam Program Vaksinasi Remaja 16 dan 17 tahun Daerah Kuala Selangor di Stadium Kuala Selangor pada 28 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 8,000 pelajar dapat vaksin di PPV Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 28 SEPT: Lebih 8,000 remaja berumur 16 dan 17 tahun menerima suntikan vaksin di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor sejak Khamis lalu.

Insiatif membabitkan 21 sekolah turut merangkumi 1,260 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama dan 267 pelajar Kolej Vokasional Kuala Selangor hari ini.

Pengerusi pasukan petugas khas imunisasi Covid-19 Kuala Selangor berkata pelajar perlu mendaftar di stadium utama sebelum dibawa ke stadium tertutup untuk mendapat suntikan.

“Lima kaunter vaksin disediakan bagi pelajar mengambil vaksin dan proses pemberian suntikan berjalan lancar serta berpuas hati dengan kehadiran mereka,” kata Mohd Faizal Abdul Raji.

Beliau yang juga pegawai daerah Kuala Selangor menambah pelajar yang tidak hadir atas sebab tertentu akan dirujuk ke pusat kesihatan daerah untuk mengambil suntikan.

Program vaksin Covid-19 remaja berumur 16 dan 17 tahun di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor bermula sejak 23 September sehingga esok.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.


Pengarang :