Petugas Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyampaikan sumbangan kepada salah wakil keluarga yang terjejas akibat Covid-19 pada 8 September 2021. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Mais salur bantuan kepada 565 keluarga terjejas akibat Covid-19

SHAH ALAM, 9 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan bantuan berbentuk makanan asasi kepada 565 keluarga bernilai RM56,500 di lima daerah di negeri ini bagi membantu mereka meneruskan hidup dalam tempoh pandemik Covid-19.

Mais menerusi hantaran dalam Facebook rasminya hari ini memaklumkan, daripada 565 keluarga yang menerima bantuan, seramai 192 keluarga dari daerah Petaling, 105 (Sabak Bernam), 104 (Gombak), 85 (Klang) dan 79 (Hulu Selangor).

“Bagi melancarkan pengagihan sumbangan, seramai 39 Rakan Strategik Agihan Fidyah Mais (RSAFM) digerakkan bagi membantu Mais menyalurkan sumbangan terus kepada penerima yang telah dikenal pasti.

“Mais mengucapkan jutaan terima kasih kepada RSAFM yang membantu dalam mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan terutamanya dalam tempoh pandemik,” menurut hantaran tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :