Foto Facebook Amirudin Shari
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB ucap selamat sempena pesta Kuih Bulan, harap dapat rai dengan keluarga

SHAH ALAM, 21 SEPT: Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat menyambut perayaan Kuih Bulan kepada masyarakat Cina di seluruh negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut berharap kaum itu dapat pulang ke rumah untuk meraikannya bersama keluarga tersayang tidak lama lagi.

“Hari ini merupakan perayaan Kuih Bulan atau perayaan pertengahan musim luruh yang disambut oleh masyarakat Cina di seluruh dunia.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Perayaan Kuih Bulan kepada masyarakat Cina terutamanya rakyat Selangor,” katanya dalam perutusan hari ini.

Perayaan Kuih Bulan merupakan perayaan hasil pertanian diraikan pada hari ke-15 pada bulan lapan kalendar Cina iaitu akhir Ogos hingga akhir September.

Perayaan ini antara yang terpenting selain Tahun Baharu Cina yang disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan, selain kuih bulan itu sendiri.

Ia selalunya hampir dengan ekuinoks musim luruh. Pada waktu ini, bulan biasanya mengambang dan terang, menjadikannya waktu yang sesuai untuk meraikan hasil tuaian musim panas.

Kuih Bulan merupakan salah satu hidangan istimewa pada perayaan ini yang diperbuat daripada adunan manis berinti kacang merah, biji teratai atau kuning telur masin.


Pengarang :